Thursday, January 5, 2012

Siti Nurhaliza menangis dalam program motivasi...



Setiap pelajar tekun memberi tumpuan kepada arahan guru kauseling. Pelajar diminta membuat 'visualisasi minda' dengan menggambarkan dalam minda masing-masing 'saat-saat mengambil keputusan SPM di sekolah bersama keluarga masing-masing'. Dalam sesi ini saya terharu bila Siti Nurhaliza, pelajar Tingkatan 5A1 menitiskan air mata akibat terlalu menghayati sesi berkenaan. Beliau sebak dan sedih. Walaupun telah popular dengan lagu 'Jerat Percintaan' dan kisahnya sering terpampang di dada akhbar, sebagai seorang pelajar, beliau bijak membawa diri serta tidak ketinggalan melibatkan diri dalam setiap program sekolah. Berwatakan peramah, mesra dah mudah tersenyum, Siti Nurhaliza bagitu popular dan amat disenangi oleh guru-guru dan pelajar. Dalam kelas, beliau seorang yang tekun, rajin dan amat menghormati guru. Boleh dikatakan semua guru tidak mempunyai masalah dengannya. Beliau bijak hampir dalam semua mata pelajaran yang diambil. Pertengahan bulan Ogos tahun 1996, arwah ayah Siti, Allahyarham Taruddin bersama ibunya telah menemui saya, selaku Pengetua sekolah waktu itu, supaya pihak sekolah dapat membantu Siti menumpukan pelajaran tanpa diganggu oleh mana pihak khususnya pihak media. Dengan pesetujuan keluarga, Siti dibenarkan tinggal di asrama dan diberi perhatian khusus oleh guru-guru supaya beliau tidak ketinggalan dalam pelajaran. GPK HEM Tuan Syed Mohammad diberi tugas untuk memastikan Siti dapat mengikuti pelajaran dengan lancar. Kami diamanahkan oleh keluarga Siti, supaya tidak membenarkan mana-mana pihak terutamanya media bertemu dengan Siti dalam tempoh sehingga peperiksaan di akhir tahun. Keluarga mahu beliau berjaya dalam pelajaran dan dapat melupakan sementara aktiviti seninya. Kesungguhan dan ketekunan Siti tidak sia-sia kerana beliau lulus dengan mendapat pangkat Dua apabila keputusan diumumkan pada bulan Mac 1997. Sebagai membalas jasa sekolah, dalam tahun 1997, walaupun sibuk dengan aktiviti seni,beliau telah meluangkan masa selama satu hari bersama pelajar Tingkatan Lima dalam program "Motivasi Pelajar". Beliau telah memberi nasihat dan motivasi kepada pelajar yang menduduki SPM dalam tahun itu. Gambar di atas di ambil ketika beliau mengunjungi pihak sekolah sambil bermesra dengan pelajar dan guru-guru. Sehingga hari ini, Penyanyi tersohor ini tetap meluangkan masa menjenguk sekolah kesayangannya dan masyarakat Lipis, yang telah banyak berjasa dalam melahirkan tokoh negara dan antarabangsa.

Ada yang tak kena dengan pelajar cemerlang Nur Amalina?

Dalam minggu ni kecoh pasal pelajar cemerlang SPM 2004, Nur Amalina, anak dari pasangan guru dan Jurutera DBKL. Kisah peribadinya yang dikatakan bertentangan dengan nilai ketimuran rancak diperkatakan di laman sosial Facebook dan Twitter.

Pelajar dari Johor ini telah mencipta sejarah sendiri dalam peperiksaan SPM kerana memperolehi 17 AI dalam semua mata pelajaran yang diambilnya. Satu keputusan yang luarbiasa ketika itu. Beliau menjadi topik bualan di semua peringkat malah kemasyhurannya sudah sampai ke tahap selebreti.

Beliau telah ditawarkan biasiswa untuk melanjutkan pelajaran, di Universiti Edinburgh, UK dalam bidang Pharmacology with Industrial Experience selama 8 tahun.

Bukan kali pertama kita dikejutkan dengan kisah pelajar cemerlang dalam SPM yang mengalami perubahan mendadak dalam kehidupan peribadi apabila berhadapan dengan suasana baru samaada di dalam negara maupun luar negara.

Penulis tidak mahu mempertikaikan pendapat orang ramai yang bagitu keciwa dengan perubahan pada kehidupan sosial Nur Amalina.

Semua pihak terutamanya para pendidik sudah tentu mengharapkan Nur Amalina terus cemerlang bukan saja dalam pengajian ilmu perubatannya, tapi juga dalam semua aspek kehidupannya. Masyarakat ingin melihat beliau memamerkan perlakuan yang sopan serta berakhlak mulia, penuh dengan ciri keislaman.

Dalam sistem pendidikan kita, kepintaran dan kecemerlangan sukar untuk dibezakan. Pelajar yang pintar dengan mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan sering dilebelkan sebagai 'berjaya' dan 'cemerlang'.

Masyarakat, ibubapa dan para pendidik menpunyai pegangan yang tidak boleh diubah lagi sejak dulu iaitu pelajar cemerlang ialah pelajar yang pintar dan mendapat keputusan tinggi (A1) dalam peperiksaan awam.

Pihak sekolah didoktrinkan oleh situasi ini sehinggakan segala amalan dalam program pendidikan mestilah menjurus ke arah memastikan setiap pelajar lulus dengan mendapat A1. GB maupun pengetua pasti melakukan apa saja strategi supaya guru memberi tumpuan seratus peratus terhadap peningkatan pencapaian subjek mereka.

Dalam hal ini, benarkah pelajar cemerlang tu mesti lulus dengan mendapat A1 dalam semua mata pelajaran yang diambilnya? Masyarakat juga sudah mengesahkan bahawa pelajar hanya mendapat B dengan sadikit C dalam mata pelajaran tidak mempunyai masa depan jelas.

Perkara inilah yang sering menghantui pemikiran kita sejak dahulu. Pendapat yang mengatakan bahawa Pelajar pintar mesti mampu mengurus diri mereka dengan berkesan dan pelajar lemah akan gagal dalam hidup mereka, terus membiak dalam benak fikran kita.

Sistem pendidikan kita sebenarnya sudah mempunyai kayu ukur yang jelas atau standard yang tertentu bagi menentukan pelajar yang bagaimana kita patut lahirkan.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) mestilah menjadi rujukan utama kepada masyarakat dan juga para pendokong pendidikan negara dalam menentukan kriteria individu yang akan dilahirkan melalui aktiviti pendidikan negara.

Jika diteliti ciri-ciri individu yang hendak dilahirkan melalui pendidikan sudah merangkumi semua aspek kehidupan insan bagi menempuhi liku-liku dan cabaran kehidupan.

FPK menghendaki setiap masyarakat dan anggota pendidikan melahirkan individu yang:

1. seimbang dan harmonis dalam aspek jasmani, rohani, intelek dan emosi
2. beriman dan bertakwa
3. berilmu pengetahuan
4. berakhlak mulia
5. betanggungjawab
6. berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri
7. memberi sumbangan kepada negara

Apakah kita telah melakukan pendekatan, strategi yang berkesan dalam P&P atau aktiviti ko-kurikulum bagi memenuhi kehendak FPK ini?

Apakah cemerlang dalam kelas dengan mendapat markah 100 dalam subjek telah memenuhi kriteria FPK ini?

Jangan salahkan Nur Amalina jika dia gagal menyesuaikan diri dan mengatur hidupnya sedangkan penafsiran kita juga sudah salah tentang 'kejayaan' dan 'kegagalan'.

Kita menghukum Nur Amalina juga tidak tepat kerana kayu ukur yang kita gunakan tidak jelas.

Tidak salah jika kita kembali kepada FPK dengan meneliti semula matlamat, misi dan visi yang ternyata hampir sempurna dalam menentukan kriteria individu terpelajar atau cemerlang.

Jumpa lagi.

Tuesday, January 3, 2012

Hari Pertama Sekolah 2012

Bila lalu kat SMK Chendrawasih semasa menghantar anak bongsu ke sekolah, kenangan semasa menjadi guru timbul kembali.

Masa mula mengajar dulu dalam tahun 1976, masa tu umur baru 25 tahun. Bila keluar u terus ditempatkan di SM Budu. Kira balik kampung le. Kampung sebelah je. Satu-satunye sekolah menengah di Mumkim Benta.

Sekolah sekarang tak macam sekolah dulu. SM Budu dalam tahun 70an, terlalu banyak kekurangan. Kemudahan Api letrik hanya 4jam je..dari pukul 7 malam hingga 11 malam. Alangkah seksanya.

Masa tu kalau nak buat soalan periksa terpaksa guna typewriter..mana ada komputer. Lepas tu kena gelek kertas sendiri.

Cikgu sekarang ni mudah sangat dah kerjanye. Buat soalan boleh copy and paste je..Papan Hijau pun dah tak pakai lagi. P&P menggunakan ICT. Cikgu tak payah lagi lukis atas kerts manjung macam kami dulu.

Makmal komputer dibina oleh KPM nampaknya telah dimanfaatkan dengan baik.

Cuma hasil pembelajaran oleh guru-guru sekarang tidak banyak bezanya dengan hasil pembelanjaran guru-guru dulu.

Sepatutnya pelajar sekarang lebih terpelajar, lebih berkesan, lebih pintar. Kenapa jadi bagitu..?

Thursday, March 10, 2011

Kudat Oh Kudat



Sejak tiga tahun menjadi anggota SPP, ini kali pertama menjejakkan ke Kudat, bandar terletak di penghujung Pulau Borneo, Tip of Borneo. Kata orang kalau tidak melawat Tip of Borneo, yang terletak di Simpang Mengayau, lawatan itu tidak lengkap.
Bersama Wan Hamzah dan pemandu SPP Sabah Awang, kami bertolak selepas saja temuduga berakhir pada hari itu.
Nasib tidak menyebelahi kami, hujan turun dengan lebatny seolah-olah tidak merestui perjalanan kami. Awang mencadangkan agar kami meneruskan juga niat kami untuk menyaksikan keindahan Tip Borneo.
Lebih kurang 45 minit perjalanan dari Bandar kudat kami sampai ke hujung tanjung Simpang Mengayau dengan disambut hujan lebat serta ribut kecil. Tiadak ada apa yang dapat disaksikan dalam keadaan bagitu.
Tip of Borneo ini merupakan tanah daratan Pulau Borneo yang paling hujung atau terakhir. Ia juga merupakan tempat di mana Laut Sulu bertemu dengan Laut Cina Selatan. Tempat sudah dibangunkan oleh Kementerian Pelancongan sebagai produk pelancongan negeri Sabah.

Saturday, December 11, 2010

Belajar Tajwid

Bila dah tua baru teringat nak belajar mengaji. Masa muda-muda dulu tak peduli langsung. Bukan tak peduli tapi tak ada masa. Mana boleh? Belajar Al Quran tu wajib. Berdosa setiap mukmin tu bila membaca Al Quran tanpa memelihara hukum tajwid.

Macam-macam alasan boleh diberi. Tak ada masalah, tak ada gurulah dan lain-lain alasan lagi. Yang nyatanya tak ada inisiatif nak mulakan. Guru nak mengajar ramai. Setiap surau ada guru mengaji quran.

Setengah daripada kita takut nak gi surau. Malu. Sebab orang lain dah pandai. Takut orang lain tau dia tak pandai mengaji. Malu nanti diketawa orang. Sebab tu bila musim bulan puasa, bila bab tadarus je tak nampak batang hidung.

Pagi ni aku pegi le kat surau dekat rumah. Setiap minggu ada belajar tajwid. Guru Qurannya ustaz Kamaruddin, bekas guru agama SK. Dia memang bagus. Senang menikut kuliahnya. Menurut jumaah surau, dia dah mengajar 3 bulan kat situ. Aku baru nak mula. Tak apalah yang pentingnya nak belajar.

Ilmu tajwid dah ada sikit-sikit. Bila ustaz mengajar tu tau le. Boleh le ikut. Memang nekad nak belajar sampai faham, tahu dan amal. Tak mau tunggu lagi. Umurpun dah makin tua. Malu pada anak-anak dan isteri.

Saturday, April 17, 2010

Perginya seorang sahabat.

AlFatihah. Semoga Allah mencucuri rahmatNya keatas roh Sahabat penulis Abdul Hadi B Mohd Yassin yang telah kembali ke rahmahtullah pada pagi khamis 15 April lalu.

Pemergiannya mengejutkan. Sukar nak percaya. Pada pagi tu, lebih kurang 7.45 pagi, penulis menerima SMS dari En.Razali Mustaffar, Pegawai di Jabatan Pelajaran Negeri memaklumkan kehilangannya.

Masa tu penulis sedang menjalankan temuduga guru GST di BTP JohorBaru. Temuduga terpaksa saya tangguhkan hampir 20 minit bagi mententeramkan perasaan.

Abdul Hadi bukan sahaja seorang sahabat tapi ia juga seorang jiran ketika tinggal di Cheneras Jaya, Kuala Lipis. Rumahnya selang tiga buah rumah dari rumah penulis. Kalau tak silap dia berjiran dengan cikgu Mat Nor.

Beliau di lahirkan di kampung Tanjung Besar, bersebelahan kampung Kemahang, kampung kelahiran penulis. Beliau mula bertugas sebagai guru GSTT di SK Tg Besar. Beliau dipilih mengikuti program KDC dan seterusnya dilantik sebagai guru tetap sekitar awal 80an.

Semasa penulis mula bertugas di SMK Budu, beliau selalu ke sekolah kerana bermain takraw dan bolasepak. Beliau seorang aktif dalam sukan bolasepak.

Kerana perkhidmatannya yang cemerlang beliau telah di lantik sebagai Penyelia di Pusat Kegiatan Guru Padang Tengku. Kemahirannya dalam bidang ICT membuat PKG Padang Tengku aktif dan sentiasa membantu sekolah-sekolah dalam zon berkenaan.

Ketika penulis bertugas sebagai pengetua SM Clifford pada tahun 1996-1999 beliau banyak membantu SMC terutamanya jika memerlukan khidmat berkaitan ICT. Beliau sering kali dipanggil ke SMC bagi membantu para guru menyiapkan sasuatu majlis.

Beliau seorang yang suka menolong tidak berat tulang. Tidak kira masa apabila diminta khidmatnya beliau terus membantu. Sikapnya yang suka membantu membuatnya ramai kawan.

Penulis percaya, sahabat penulis saudara Kamaludin Daud nama galmournya KD, ketika tu bertugas sebagai Penolong PPD Lipis kerap kali meminta bantuannya terutama jika PPD Lipis mengadakan majlis sambutan Hari Guru dan menerima VIP dari JPNP dan KPM.

Oleh kerana sikapnya yang sederhana dan peramah menyebabkan penulis meminta izinnya bagi mengabadikan namanya kepada anak bongsu penulis.

Saya masih ingat lagi, satu petang di depan rumahnya saya memohon kebenarannya untuk mengabadikan namanya jika isteri penulis melahirkan anak lelaki. Beliau tergamam dan tak percaya.

Sekarang anak saya bernama Wan Abdul Hadi dah berumur 13 tahun. Sudah tentu saya tidak dapat melupakannya.

Apabila saya dilantik sebagai PPD Kuantan pada tahun 2000, saya telah mempelawanya untuk mengikut saya bertugas sebagai penyelia di Pejabat Pendidikan Daerah Kuantan. Saya amat gembira kerana pelawaan saya diterimanya. Beliau ditugas sebagai penyelia sekolah menengah.

Ketika meninggal dunia usianya baru berusia 54tahun. Beliau meninggalkan seorang balu yang masih berkerja sebagai staff nurse di HTAA Kuantan dan 3 orang anaklelaki.

Beliau meninggal dunia akibat penyakit kencing manis yang dihidapi sejak 10 tahun dahulu. Menurut doktor kencing manisnya menyebabkan kakinya dijangkiti.

Jenazahnya selamat disemadikan di tanah perkuburan Islam di Dungun, di kampung halaman isterinya.

Beliau telah mencurah khidmat bakti dalam dunia pendidikan hampir 30 tahun sebagai guru, Penyelia PKG, Penyelia di PPD dan JPN Pahang. Jasanya amat bermakna terutama kepada bidang pendidikan khususnya di Lipis, Kuantan danPahang khasnya.

Pengorbanan dan jasanya dalam bidang pendidikan tetap dikenang. Semoga Allah menempatkannya di sisi roh para solihin. Amin

Nak Mula semula.

Dah lama tinggalkan laman blog ni. Bukan apa, malas nak menulis. Itu alasan yang munasabah. Memanglah, menulis perlu ada masa. Perlu ada bahan nak diceritakan. Bahan yang boleh dikongsi bersama. Kalau tidak, tak payah susah-susah nak menulis. Baca saja bahan dalam blog orang lain. tapi kita hanya menerima bahan dan pandangan orang lain, yang mungkin berbeza dengan kita.

Tiap saat kita didedahkan tentang bahan dan cerita yang boleh kita bincangkan. Samaada melalui TV, akhbar malah 'cakap-cakap' kedai kopi juga terlalu banyak bahan yang boleh mengajak kita untuk berbincang.

Saya cuba, mulai hari ini, laman blog ini akan ada cerita tersendiri. Paling tidak untuk pengajaran, makluman dan nasihat untuk diri sendiri. Cuba dapatkan cerita, tulis, bincang dan rumuskan. Bagus juga,kalau dapat luangkan masa selalu untuk blog ni.

Elok juga kalau bahannya bermakna untuk keluarga, sahabat, jiran dan siapa saja yang kebetulan 'terjumpa' blog ni.